Monday, July 25, 2016

MUFC: ROSES DERBY

*ROSES DERBY YANG SEMAKIN DILUPAKAN*

Manchester United dan Liverpool memang diakui memiliki sejarah perseteruan yang panjang, bermula dari era revolusi perindustrian di Britain hinggalah sekarang. Pertembungan antara dua kelab yang memiliki sejarah dan tradisi paling gemilang di tanah Inggeris itu sentiasa dinantikan penuh minat oleh pemerhati dan peminat bolasepak dunia. Selain Liverpool, United juga perlu menangani cabaran yang datang dari musuh domestik mereka yang lain seperti Arsenal, Chelsea dan jiran sekota mereka, Manchester City.

Momen paling diingati jika bercakap tentang perseteruan United dan Arsenal pula sudah tentu berlaku di terowong pemain pada10 Oktober 2004. Insiden yang cukup dikenali dengan gelaran Pizza Gate atau Battle of the Buffet itu berlaku sebaik perjalanan epikInvincibles Arsenal dihentikan menerusi jaringan Ruud Van Nistelrooy dan Wayne Rooney masih tetap segar dalam ingatan biarpun sudah hampir 12 tahun berlalu.

Permusuhan Manchester Derby pula diterjemahkan Roy Keane menerusi terjahan kerasnya akibat dendam lama yang menamatkan terus kerjaya Alf Inge Haaland sebagai pemain bolasepak profesional. Selepas pulih dari kecederaan itu, Haaland cuba untuk kembali bermain tetapi kesan kecederaan parah dari hentakan boot Keano menyebabkan beliau akhirnya menyerah dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada karier profesionalnya pada usia 31 tahun.

Kehadiran Roman Abramovich yang menyuntik dana beratus juta Pound ke Stamford Bridge pula menyaksikan Chelsea muncul kuasa baharu bolasepak Inggeris sekaligus menghadirkan cabaran yang bukan sedikit buat United. Ditambah pula dengan perlantikan Jose Mourinho yang penuh karakter itu sebagai pengurus The Blues, Chelsea berjaya menamatkan dominasi United dan Arsenal apabila mereka menjulang kejuaraan liga dua musim berturut-turut (2004-05 dan 2005-06).

Andai ditanya kelab manakah musuh nombor satu United? Anda pastinya akan mendengar jawapan yang beragam dan pelbagai dari kalangan rakan-rakan penyokong United yang lain. Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Manchester City adalah nama yang akan selalu anda dengar sekiranya soalan ini ditanyakan kepada mereka. Rekod pertemuan silam, jumlah trofi yang dikumpul, persaingan dalam liga, wang dan aspek geografi menjadi penyebab mengapa anda memilih Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Manchester City sebagai musuh nombor satu United.

Tetapi bagaimana pula jika anda tanyakan soalan kepada penyokong-penyokong Leeds United tentang kelab manakah yang mereka letakkan sebagai musuh nombor satu mereka? Untuk soalan ini, saya yakin hanya ada satu nama yang akan keluar dari mulut mereka iaitu Manchester United. Mengapa United? Jawapannya ialah kerana sejarah silam yang berlaku di abad ke-15. Apa yang berlaku di England di abad ke-15? Okey mari kita buka kembali buku sejarah.

*Perang Dua Wilayah*

Perseteruan antara wilayah Lancashire dan Yorkshire di abad ke-15 berakhir dengan peperangan yang dikenali sebagai War of the Roses (Lancashire menggunakan mawar merah sebagai lambang mereka manakala Yorkshire pula menggunakan mawar putih). Rupa-rupanya peperangan antara dua wilayah yang berlaku beratus tahun dahulu akhirnya membawa kepada tercetusnya permusuhan abadi di atas padang bolasepak membabitkan dua kelab Inggeris iaitu Manchester United dan Leeds United.

*Persaingan Matt Busby & Don Revie*

Dekad 60an boleh dikatakan persaingan di liga Inggeris berkisar kepada perseteruan antara United dan Leeds. Sejarah silam peperangan yang pernah berlaku antara wilayah Lancashire dan Yorkshire turut terbawa-bawa hingga ketengah padang setiap kali United dan Leeds bertemu. Perkelahian, kekasaran melampau dan provokasi sesama pemain antara adegan wajib yang ada setiap kali berlangsungnyaRoses Derby (atau disebut juga sebagaiRoses Rivalry).

Di era itu (60an) kedua-dua kelab memiliki barisan yang seimbang tetapi dengan adanya pemain-peman seperti George Best, Bobby Charlton dan Dennis Law, skuad United kendalian Sir Matt dianggap lebihglamour berbanding Leeds. Bagaimanapun ketika era 60an memasuki fasa penghujung, Leeds di bawah asuhan Revie dianggap pasukan lebih kuat berbanding United menerusi kualiti yang ada pada Jack Charlton, Billy Bremmer dan Norman Hunter.

*Selepas Era Matt Busby & Don Revie*

Ketegangan perseteruan antara United dan Leeds mula kendur di awal dekad 70an selepas berakhirnya era Sir Matt manakala Revie pula meninggalkan Elland Road selepas dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan England. Zaman malap yang dihadapi United selepas ditinggalkan Sir Matt dan Leeds juga menerima tempias yang sama selepas pemergian Revie menyaksikan edisi-edisi Roses Derby tidak lagi sepanas dekad sebelumnya.

Bagaimanapun ketegangan dan persaingan antara kedua-dua kelab di atas padang yang kian kendur tidak langsung mempengaruhi rasa benci yang masih menebal di kalangan penyokong-penyokong kedua-dua pasukan. Di era 70an ketika semangat hooliganismedalam bolasepak sedang memuncak, kes pertempuran penyokong membabitkan Red Army (United) dan Service Crew (Leeds) turut mencatatkan jumlah tertinggi berbanding mana-mana perlawanan derby dan menjadi cerita paling terkenal di bumi Inggeris.

Perpindahan Pemain Tonggak Permusuhan antara United dan Leeds bukan sahaja melibatkan saingan di atas padang dan pertempuran penyokong di luar padang tetapi juga melibatkan hal kesebelasan mana yang lebih baik. 14 tahun sebelum Eric Cantona berpindah dari Elland Road ke Old Trafford, United menandatangani dua pemain penting Leeds hampir serentak dan pemain yang saya maksudkan ialah Joe Jordan serta Gordon McQueen.

Perpindahan Jordan dan McQueen memanaskan lagi api permusuhan antara United dan Leeds apatah lagi McQueen selepas itu mengeluarkan kenyataan bahawa “99% pemain ingin bermain untuk Manchester United dan 1% lagi adalah pembohong”. Kenyataan McQueen itu menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong Leeds kerana hanya seminggu sebelumnya dalam satu temubual denganShoot Magazine, beliau mengatakan ingin bermain untuk Leeds sepanjang kariernya.
Ketika luka dari perpindahan Jordan dan McQueen masih berbekas, penyokong-penyokong Leeds terpaksa menyaksikan seorang lagi idola di Elland Road berpindah ke kelab paling dibenci mereka. Dengan `restu’ yang diberikan Bill Fotherby (Pengerusi Leeds ketika itu), Eric Cantona akhirnya berpindah ke Old Trafford pada musim panas 1992 biarpun musim sebelumnya beliau mengetuai Leeds menewaskan United dalam perebutan kejuaraan liga.

Sepertimana pentingnya peranan yang dimainkan beliau ketika membantu Leeds menjulang kejuaraan liga, begitu jugalah yang dilakukan Cantona di Old Trafford. Cantona meneruskan sentuhan magisnya apabila beliau berjaya membantu The Red Devils menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga. Menyaksikan pemain yang sebelumnya dianggap sebagai dewa membantu musuh nombor satu mereka menjulang kejuaraan liga menambahkan lagi rasa benci penyokong-penyokong Leeds terhadap United.

Jika dahulunya beliau dijulang sebagai wira tetapi kini Cantona dianggap petualang pula oleh penyokong-penyokong Leeds. Jadi tidak hairanlah mengapa setiap kali beliau kembali ke Elland Road, Cantona akan diberikan sambutan yang cukup `meriah’ oleh mereka-mereka yang dahulu pernah memujanya. Cantona rupa-rupanya bukanlah yang terakhir kerana selepas itu ada lagi bintang Leeds yang berpaling tadah.

*Perpindahan pemain tonggak*

masih lagi menjadi penyebab mengapa api permusuhan antara kedua-dua kelab kekal marak. Sepuluh tahun selepas perpindahan sensasi Cantona dari Elland Road ke Old Trafford, kini tiba giliran Rio Ferdinand pula melakukan hal yang sama. Perpindahan Ferdinand pada 2002 menjadikan beliau muncul pemain pertahanan termahal dunia dan mencatat rekod perpindahan British ketika itu.

Dua tahun kemudian giliran Alan Smith pula melukakan hati penyokong-penyokong Leeds apabila beliau mengambil keputusan menyertai Ferdinand di Old Trafford. Smith yang cukup terkenal dengan kebiasaan beliau mencium badge Leeds setiap kali berjaya menjaringkan gol pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan sesekali menyertai United. Perpindahan Smith membuktikan kebenaran kata-kata McQueen bahawa “99% pemain ingin bermain untuk Manchester United dan 1% lagi adalah pembohong”.

`Nyanyian Ewood Park’

Apa yang berlaku di Ewood Park pada 1994 adalah contoh terbaik sejauh mana tahap kebencian penyokong-penyokong Leeds terhadap United. Ketika upacara bertafakur bagi menghormati kematian Sir Matt Busby dilakukan sebelum sepak mula, segelintir penyokong-penyokong Leeds yang berada di Ewood Park sebaliknya bertindak memecah kesunyian dengan melaungkan chant“There’s only one Don Revie, one Don Revie….”

Berbeza dengan Sir Matt yang dianggap lagenda dan antara pengurus paling berjaya dalam sejarah bolasepak Britain, lain pula halnya dengan layanan yang diterima oleh Revie. Meskipun berjaya dua kali membawa Leeds muncul juara liga Divisyen 1 (1968-69 &1973-74) selain Piala FA dan Piala Liga, Revie dikritik kerana corak permainan keras yang diterapkan dalam permainan pasukannya hinggakan barisan Leeds diberikan gelaran Dirty Leeds.

Hingga saat kematian beliau akibat kanser pada 1989, media-media Inggeris ketika itu masih tetap memberikan gambaran buruk terhadap Revie. Penyokong-penyokong Leeds menganggap lagenda mereka itu tidak diberikan layanan yang adil dan penghormatan selayaknya berbanding apa yang diterima Sir Matt. Perseteruan silam ketika era Busby Babes dan Revie Boys selain layanan double standard yang diberikan warga bolasepak Britain kepada Revie berbanding Sir Matt akhirnya mencetus `Nyanyian Ewood Park’ pada 1994.

*Gelora Yang Semakin Reda*

Pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua kelab berlaku pada 20 September 2011 dalam saingan Piala Liga di Elland Road. Kemenangan 3-0 yang dilakar United menerusi dua jaringan Michael Owen dan satu gol sumbangan Ryan Giggs bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika diambilkira status kedua-dua kelab. Ketika itu United dalam prestasi bagus dan mereka adalah pendahulu carta Liga Perdana manakala Leeds pula sekadar berada di tangga ketujuh Liga Kejuaraan.

Jurang darjat yang kian dalam antara kedua-dua kelab pernah bermusuhan ini menyaksikan Roses Derby tidak lagi sepanas ketika era 60an hingga 90an. Aksi di Elland Road lima tahun lalu membuktikan kebenaran bahawa gelora Roses Derby yang berpunca dari perang antara dua wilayah ratusan tahun dahulu kini semakin reda. Meskipun begitu penyokong-penyokong United tidak pernah melupakan sejarah perseteruan yang membabitkan United dan Leeds.

Chant dari penyokong-penyokong United yang menyebut tentang Leeds masih berkumandang di Theatre of Dreams sebagai tanda bahawa mereka menghargai nilai perseteruan yang pernah berlaku antara dua kelab Lancashire dan Yorkshire itu sebelum ini. Ketika ramai yang kini memilih Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Manchester City sebagai musuh nombor satu United, mereka terlupa bahawa perseteruan United dan Leeds lama dahulu pernah menyebabkan bolasepak England `huru-hara’.

Roses Derby hanya mampu dirindukan untuk disaksikan aksinya serta mungkin tidak akan berlaku dalam waktu terdekat memandang United dan Leeds kini berada dalam kasta yang berbeza. Ketika generasi baharu penyokong-penyokong United disogokkan dengan sensasi Manchester Derby, generasi terdahulu pula mungkin masih merindui ketegangan dan hangatnya Roses Derby. Semoga suatu hari nanti permusuhan antara United dan Leeds akan kembali memanaskan bolasepak Inggeris, sebuah pertarungan yang bukan hanya membabitkan pemain ditengah padang tetapi juga pertarungan melibatkan harga diri dan tradisi antara United’s Red Army danLeeds Service Crew…Glory Glory Manchester United!!!

No comments:

Post a Comment