Tidak lama dahulu, pekan Donggongon telah dinaik taraf menjadi bandar Donggongon sekaligus menaik taraf standard Donggongon dari semua aspek. Penaik tarafan ini bukan saja menambah bilangan pelawat dan peniaga ke bandar Donggongon tetapi juga menambah kepada penularan gejala vandalisme. Jika dilihat, gejala vandalism ini bukan saja dari segi merosakkan harta benda awam seperti telefon awam dan merosakkan tong sampah yang telah disediakan malah kini terdapat grafiti di dinding-dinding seperti pada dinding kedai billiar, dan tandas. Malah, tugu Datuk Peter Mojuntin juga diconteng dengan spray oleh individu yang dipercayai PATI.
Dari segi kebersihan pula, keadaan tong-tong sampah atau tempat pembuangan sampah harus dinaik taraf. Biarlah setiap tong sampah dan tempat pembuangan sampah itu mempunyai tutup agar bau busuk tidak dibawa ke udara. Ironinya di Donggongon, dapur-dapur kedai makan dibina bersebelahan dengan tempat pembuangan sampah. Lalat-lalat beterbangan dari sampah-sarap ini. Keadaan tempat pembuangan sampah juga mempunyai air bertakung dan berbau busuk. Malah ada air sampah ini mengalir ke jalan raya yang berlopak. Ini sangat-sangat memalukan kerana bau busuk ini mencerminkan tahap kebersihan bandar ini.
Tidak cukup dengan itu, pergilah di blok-blok lama, dan anda dongakkan kepala ke arah siling. Pasti anda dapat melihat rekahan-rekahan pada struktur siling. Ini membahayakan orang yang lalu di bawah premis-premis ini. Anda boleh melihat rekahan ini pada blok M yang menempatkan premis Parti Bersatu Sabah, Penampang Union Transport dan Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS).
Penguatkuasa MDPG seringkali merayau-rayau di kawasan Donggongon, namun peliknya, dimana agaknya penglihatan mereka diletakkan? Tumbuhan liar seperti keladi pada tingkat 2 beberapa rumah kedai kini semakin subur dan membesar seperti perut-perut penguatkuasa ini. Kenapa mereka tidak membuang atau membuka tumbuhan parasit itu? selain itu, pergilah ke lorong-lorong belakang kedai, anda dapat melihat lumut-lumut dan saudara spesiesnya tumbuh dengan 'meriah' dan dalam keadaan 'harmoni'. Dimana tanggungjawab para penguatkuasa ini?
Kesimpulannya, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam masalah ini? Adakah kaedah ping-pong akan terus diguna-pakai dalam setiap masalah ini yang akhirnya tidak akan selesai? Fikir-fikirlah sendiri.
No comments:
Post a Comment