Friday, April 11, 2014

TASIK BUYUT, KOTA MARUDU

Tasik Buyut
Tasik Buyut terletak di dalam kawasan Kg. Mangkalua, Kota Marudu. Cerita lagenda mengenai tasik menarik perhatian saya iaitu pernah berlakunya kemurkaan dewa akibat sikap tidak berkeperimanusiaan manusia terhadap haiwan. Menurut cerita En. Gregory, staf Stesen Perikanan Tasik Buyut, kampung ini sebenarnya sebuah kampung yang cantik dan terkenal pada satu ketika, tanah subur untuk pertanian dan persekitaran alam semulajadi yang sangat indah.
Difahamkan bahawa penduduk kampung di sana sering mengadakan pesta dan majlis keramaian, tuak, tapai dan menu tradisi merupakan menu wajib dalam acara tersebut. Diceritakan bahawa malapetaka berlaku selepas penduduk memaksa seekor kucing dan kera minum minuman arak dan memaksa kedua-duanya menari. Pesta keramaian kali ini menjadikan haiwan tersebut sebagai bahan jenaka, sambil para penduduk bersorak gembira dan paluan gong semakin kuat. Dikatakan juga bahawa mereka turut melaga-lagakan kedua-kedua haiwan tersebut hingga mati.
Berikutan dengan perbuatan itu, dewa menurunkan hujan sangat lebat, dentuman petir dan ribut taufan yang tiada penghujung selama seminggu, kilat sabung-menyabung dan hujan yang turun dikatakan tidak boleh diminum kerana airnya beracun. Perkampungan terpencil itu airnya tenggelam dan semua tanaman musnah. Difahamkan bahawa hanya satu keluarga sahaja yang selamat kerana tidak menghadiri pesta berkenaan.
Akhirnya, perkampungan itu lenyap dari muka bumi akibat tengelam (nobunsut) dan wujudlah Tasik Buyut yang bermaksud tasik luas dalam dialek kaum Dusun Kimaragang.

No comments:

Post a Comment