Sunday, October 12, 2014

MUSIBAH & MEDIA SOSIAL

Daerah Penampang terjejas teruk akibat hujan berterusan selama 9 hari tanpa henti menyebabkan banjir kilat yang menengelamkan hampir keseluruhan bandar Donggongon pada 07.10.2014 yang lalu. Ianya paling teruk sejak kali terakhir pada 06.01.1999.

Paras air sungai Moyog naik mendadak setelah hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai Moyog. Beberapa kawasan tanah rendah terjejas teruk manakala di kawasan tanah tinggi menghadapi ancaman tanah runtuh. Hujan lebat ini telah mengakibatkan jalan-jalan utama menghubungkan daerah Penampang dengan daerah lain putus dan mengambil masa yang lama untuk dibaiki. Antara jalan yang putus dan ditutup ialah jalan Penampang-Tambunan (putus di Kg. Togudon & Raflessia Research & Information Centre), jalan Inanam-Penampang (putus di Kg. Bantayan) dan jalan Penampang-Putatan (runtuh di Lok Kawi).

Ketika masyarakat Penampang di landa musibah, ada juga keyboard warrior yang mempersendakan musibah ini. Ada yang mengaitkannya dengan anutan agama. Tidak kurang mereka yang bijak menggunakan aplikasi mengedit gambar untuk mempersendakan musibah ini. Penyebaran maklumat palsu yang menggunakan nama DO Penampang, En. William Sampil juga menambah kekalutan dan panik di kawasan yang terjejas.

Perbuatan menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat keadaan harus disiasat oleh pihak polis. Penggunaan aplikasi Watsapp, WeChat, Facebook, Twitter & Instagram haruslah digunakan dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment