Thursday, July 7, 2011

DIMANA JALAN KELUARNYA?



Kepercayaan adalah asas yang mendasari sesebuah masyarakat. Apabila manusia tidak berpegang kepada janjinya, maka lembu mempunyai alasan untuk membebaskan diri dari talinya.

Apabila Tuanku bersetuju untuk mengaturkan pertemuan bersama perwakilan BERSIH 2.0, dan apabila Baginda bertitah menyeru untuk menyelesaikan masalah secara "rundingan", kerajaan BN-UMNO perlu akur dengan Titah Khas itu. Kerajaan UMNO-BN tidak boleh menuduh BERSIH sebagai penderhaka jikalau mengingkari titah Tuanku, tapi pada masa yang sama, kerajaan dan polis terus dengan pendekatan di luar "rundingan".

Dengan kata lain, apabila YDP Agong mengiktiraf kedudukan BERSIH dengan mengaturkan pertemuan bersama perwakilan BERSIH, adalah tidak sesuai untuk KDN terus mengulangi kenyataan bahawa BERSIH adalah haram - melainkan KDN tidak mengiktiraf peranan institusi raja dalam penyelesaian isu ini.

Kesediaan BERSIH untuk berkongsi pendirian mengiktiraf institusi raja dalam penyelesaian isu ini harus dihargai. Ia harus ditafsir sebagai kesediaan BERSIH untuk membina asas kepercayaan antara kerajaan BN, malah dengan institusi raja. Namun demikian, dengan UMNO-BN, malah polis yang menurut perintahnya, seolah-olah tidak memandang berat, bahkan memperlekehkan asas kepercayaan yang cuba dijalinkan ini.

Setakat ini tiada kelihatan walaupun sedikit keikhlasan daripada kerajaan UMNO-BN dari segi tindakan dalam menyelesaikan isu ini -- Enam orang aktivis PSM terus ditahan di bawah Ordinan Darurat, mereka yang berpakaian kuning BERSIH 2.0 terus ditangkap dan didakwa di mahkamah, malah diadakan Demonstrasi Ketenteraman Awam dengan kain rentang bertulis "Bersurailah kamu kalau tidak kami tembak".

Perkembangan terkini menyaksikan penolakan pihak Stadium Merdeka terhadap tempahan BERSIH 2.0, tanpa alasan yang jelas. Menurut laporan media, Hishammuddin Hussein (gambar kiri) bertegas, tangkapan pencegahan ke atas aktivitis yang berkaitan dengan perhimpunan BERSIH 2.0 akan berjalan seperti biasa.

Persoalannya, siapa yang mahu berdemonstrasi di jalan raya, seandainya masalah boleh diselesaikan melalui penyerahan memorandum? Siapakah yang mahu memekik di padang stadium, seandainya masalah boleh diselesaikan di atas meja rundingan? Siapakah yang akan hilang "amanah", seandainya asas kepercayaan yang cuba dibina tidak dimusnahkan? Siapa yang sanggup/akan menjadi "haram", jikalau golongan yang berkuasa berpegang kepada janjinya?

Dan soalan terakhir, bukankah kerajaan memaksa BERSIH 2.0 untuk turun semula ke jalan raya, seandainya pintu stadium tidak dibuka?

No comments:

Post a Comment